Cerpen / Al-Kisah:
Seorang hamba bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw. Sehari
tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak
bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih,
murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban.
Baginda mengetahui betapa hebatnya kasih sayang Tsauban terhadap dirinya.
Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw.
Katanya "Ya Rasulullah, saya
sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu
denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan
bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas,
takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga
yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau
paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya
tentu tidak bersua muka denganmu lagi."
Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu.
Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah.
Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada
Rasulullah saw, bermaksud "Barangsiapa
yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka
yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan
mereka yang sebaik-baik teman." Mendengarkan jaminan Allah ini,
Tsauban menjadi gembira semula.
Apabila hati yang dalam kecintaan terhadap seseorang akan merasa rindu yang teramat sangat jika tidak bertemu. Pasangan sahabat yang berjumpa dan berpisah kerana Allah semata-mata akan mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak.
Rasulullah amat mengetahui mana-mana umatnya yang mencintai baginda, meskipun baginda sudah wafat.Rasulullah memberi syafaat kepada sesiapa di antara umatnya yang mengasihi baginda Jadi sentiasalah berselawat dan mengamalkan Sunnah-nya.
**Kembali ke TAZKIRAH dan RENUNGAN